Tuesday, 5 July 2011

Keluhan Si Buah Cempedak

 
 Keluhan Si Buah Cempedak

Buah cempedak diluar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Begitulah saban hari si cempedak mendengar namanya disebut-sebut kanak-kanak kecil
sebagai sebagai lagu dalam pantun. Namun, nasib cempedak ini tidaklah begitu baik. Baru
berbuah,habis ditebuk haiwan. Kerana itu, habis bahagiannya ada yang busuk.
“Mengapa begini nasib diriku? Sia-sia saja berbuah, tapi rosak dimakan binatang. Aku mahu
manusia memakanku. Mereka memang menggemarkan aku. Sebab itulah mereka selalu
menyebut namaku.” kata si cempedak seorang diri.
Lalu secara tiba-tiba, dia disapa seekor semut.
“Mengapa dengan kau ni? Ko mengeluh atau kau memintanya?”
Jawab si cempedak “sudah tentu aku mengeluh. Aku mahukan manusia memakan aku.”
“Mengapa perlu begitu? balas si semut.
“Sememangnya aku mahu disanjung tinggi dan sentiasa menjadi yang terbaik dikalangan buah
yang ada pada pandangan manusia” kata si cempedak itu lagi.
Semut mendiamkan diri dan menggelengkan kepala.
“Aku mahu namaku tetap menjadi sebutan. Lagi pun memang aku ini hanya layak dimakan oleh
manusia sahaja.” sambung si cempedak.
“Kau tak berhak untuk berkata begitu” si semut menyampuk.
Tidak disangka-sangka, si cempedak merasa marah. Lalu dia mengherdik si semut.
“Berani engkau berkata begitu kepada aku. Aku berhak keatas diri aku sendiri dan akulah yang
menentukan siapa yang layak memakan aku”
Si semut semakin menghampiri si cempedak.
“Awaslah dengan petah bicaramu wahai cempedak. Engkau dijadikan untuk semua
makhluk-Nya dimuka bumi ini. Maka, Dialah yang lebih berhak menentukan siapa yang layak
untuk memakanmu” si semut cuba untuk menasihati cempedak.
Si cempedak diam seketika. Namun, tiba-tiba bersuara lagi.
“Ah. Aku tak peduli semua itu. Aku menghasilkan makanan yang lazat. Siapa yang tidak mahu
aku wahai semut? Semua manusia mengemarinya. Tetapi jika yang lain memakannya,
bagaimana aku ini akan menjamu buah-buahan ku yang manis dan lazat ini kepada manusia?
Engkau tidak fahamkah dengan ini semua?”
“Aku mengerti wahai cempedak yang manis dan lazat. Apakah engkau merasa bangga dengan
diri engkau ini?” soal si semut.
Lalu dengan pantas dijawab oleh cempedak. “Sudah semestinya aku berbangga dengan apa
yang aku ada. Aku manis, lazat dan malahan berkhasiat. Siapa lagi yang dapat menandingi
aku? Bahkan, isiku juga banyak. Sememangnya masyhurlah diriku ini wahai semut kecil”
Si semut merasa terkilan kerana seolah-olah diperli oleh cempedak. Lalu dengan tenang si
semut berkata “ Itulah kelebihan dirimu yang telah diberikan olehnya. Disebabkan kesedapan,
keenakan, kemanisan, kelazatan dan isimu yang banyak itulah yang menyebabkan engkau
bukan sahaja digemari oleh manusia, tetapi haiwan juga”
“Mengapa engkau berkata begitu?” soal cempedak dengan cepat sebaik mendengar kata-kata
si semut itu.
Si semut tersenyum kecil. Namun, cempedak merasa hairan. Dia diam sambil menunggu semut
menyambung kata-katanya.
“Bukankah kemanisan dan kelazatanmu itu satu tarikan dirimu untuk tidak kira samada manusia
mahupun haiwan menghampiri dan memakanmu” kata semut.
“ya” jawab si cempedak.
“Inikan sudah membuktikan bahawa disebakan itulah semuanya tertarik kepadamu.
Seharusnya engkau bersyukur kerana terdapat kelebihan dalam dirimu itu. Mahukah engkau,
hanya haiwan sahaja yang menggemarimu sedangkan manusia tidak?” si semut menyambung
kata-katanya tadi.
Si cempedak diam berfikir seketika. Dan seterusnya bersuara “Aku tidak mahu begitu. Tetapi
aku hanya menginginkan manusia sahaja yang memakanku”
Semut senyum bersahaja. “Hai cempedak, setiap yang menjadi kegemaran dan kesukaan
manusia itulah juga akan menjadi santapan bagi haiwan. Apa yang digemari oleh manusia itu,
pastinya turut digemari oleh haiwan. Bersyukurlah kerana adanya yang menggemarimu”
“Ya, aku faham wahai semut kecil. Aku mengerti akan hal ini” kata cempedak dengan nada
yang suram.
Si semut melihatkan akan hal itu segera berkata kepada cempedak. “Niat aku bukan untuk
membuat kau berasa sedih, tetapi sebagai peringatan untuk setiap yang tercipta pasti ada
tujuannya”
Cempedak mengangguk tanda faham akan apa yang dikatakan oleh si semut kecil itu. Lalu dia
bersuara “Terima kasih wahai semut kerana menasihati aku. Aku akan berusaha untuk
membuang segala tabiat dan niat yang kurang baik dalam diriku ini”
Semut kecil pun merasa gembira dengan apa yang dikatakan oleh cempedak. Mulai dari saat
itu, tidak kedengaran lagilah rintihan keluhan daripada buah cempedak lagi.

No comments:

Post a Comment