Wednesday, 17 August 2011

MONYET DAN IKAN LUMBA-LUMBA

Pada zaman dahulu, terdapat seorang pelayar yang baik hati. Dia suka mengembara ke serata tempat. Dia juga sering membawa bersama seekor monyet kesayangannya.Pada suatu hari, pelayar itu pergi belayar bersama keluarganya. Dia juga membawa monyet kesayangannya. Semasa dalam pelayaran, tiba-tiba angin bertiup kencang dan laut bergelora. Ribut yang kuat menyebabkan kapal itu karam. Semua penumpang di dalam kapal itu meninggal dunia akibat lemas. Hanya seekor monyet yang terselamat. Ia berpaut pada sebatang kayu.Ketika monyet terumbang-ambing dipukul ombak yang besar, tiba-tiba seekor ikan lumba-lumba menghampirinya."Wahai monyet, saya kasihan melihat kamu. Naiklah ke atas belakang saya, saya akan membawa kamu ke tempat yang selamat," kata ikan lumba-lumba."Terima kasih kerana selamatkan saya," kata monyet.Monyet terus naik ke atas belakang ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba membawa monyet menuju ke darat. Sebelum sampai ke darat, mereka melalui sebuah pulau. Ketika melalui pulau tersebut, monyet terfikir untuk mempermainkan ikan lumba-lumba."Kamu tahukah, di pulau inilah seorang rakan saya menjadi raja. Ia memerintah rakyat di pulau ini dengan adil. Rakyat hidup dengan aman dan gembira. Di pulau ini juga terdapat makanan yang banyak," kata monyet.Ikan lumba-lumba hanya terdiam mendengar kata-kata monyet. Ia tahu monyet cuba mempermainkan dirinya. Ikan lumba-lumba tahu pulau itu tidak terdapat manusia atau pun haiwan. Ikan lumba-lumba ingin mengenakan monyet pula. Ia membawa monyet ke pulau itu."Saya rasa, eloklah kamu tinggal di sini. Kamu tentu boleh hidup senang-lenang di pulau ini," kata ikan lumba-lumba. Ikan lumba-lumba meninggalkan monyet di situ dan terus pergi dari situ.Tinggallah monyet keseorangan di pulau itu. Monyet menangis kerana menyesali kesilapannya. Ia sepatutnya tidak bercakap yang bukan-bukan kepada ikan lumba-lumba yang telah menolongnya.*Moral : Jangan menipu orang yang telah menolong kita

No comments:

Post a Comment